Saturday, May 23, 2009

ONANI

Askm…saya seorang remaja yang kerap melakukan onani..saya telah lakukan sejak umur 14 tahun..kini umur saya 24 tahun…saya telah beberapa kali untuk meniggalkan perbuatan ini tetapi tidak berhasil…apakah nasihat dr untuk saya meninggalkan perkara keji ini…apakah kesan daripada perbuatan onani ini…saya amat berharap dapat penjelasan dr..saya risau dr..tolonglah saya..saya tak sanggup lagi nak menanggung dosa perbuatan saya ini…

Onani atau masturbation ialah perbuatan mengeluarkan air mani dan memuaskan nafsu syahwat dengan menggunakan tangan atau alat-alat tertentu. Tidak ada sebarang nas yang jelas mengharamkan onani, namun kebanyakan ulama mengharamkannya, antaranya Imam Malik. Ia adalah berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “Dan mereka (iaitu orang mukmin yang berjaya) memelihara kemaluan mereka melainkan kepada isteri-isteri dan hamba-hamba perempuan mereka, dan yang demikian itu tidaklah dicela. Dan sesiapa yang mencari yang lain daripada ini, mereka adalah golongan yang melampaui batas. ” (Surah Al-Mukminun ayat 6-7)

Berdasarkan ayat ini, syariat mengizinkan seseorang melepaskan syahwatnya kepada isteri-isteri dan hamba-hamba perempuan, dan yang lain daripada itu, termasuk onani, adalah diharamkan. Imam Ahmad bin Hanbal mempunyai pendapat yang berbeza. Onani, bagi beliau, termasuk di dalam aspek mengeluarkan sesuatu yang sudah berlebihan, justeru ia diharuskan dan tidak diharamkan.

Pendapat ini diperkukuhkan oleh Ibn Hazm. Imam Abu Hanifah pula mengharuskannya di dalam dua keadaan, pertama ketika dikhuatiri akan berzina dan kedua, bagi mereka yang tidak mampu untuk berkahwin. Justeru, Islam memberi beberapa kelonggaran berhubung dengan onani. Walau bagaimanapun, apabila seseorang berasa terangsang untuk melakukan onani kerana sering kali melihat gambar dan video lucah atau membaca buku-buku lucah hukum haram adalah lebih sesuai baginya.

Antara perkara yang perlu dilakukan untuk mengawal gelora nafsu seks ialah:

1- Menjaga ibadah teruatamanya yang wajib dan melaksanakannya dengan penuh khusyuk. Solat, sebagai contoh, jika dilakukan dengan khusyuk mampu mencegah seseorang daripada kemungkaran dan dosa. Dalam surah al-Ankabut ayat 45, Allah berfirman, “Sesungguhnya solat dapat mencegah seseorang dari perbuatan keji dan mungkar.”

2- Laksanakan puasa seminggu dua kali (hari Isnin dan Khamis) atau selang sehari (puasa Nabi Daud). Nabi bersabda yang bermaksud: “Wahai pemuda, sesiapa di antara kamu yang berkemampuan hendaklah dia berkahwin sebab perkahwinan dapat menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu untuk berkahwin hendaklah dia berpuasa.” (Riwayat Bukhari)

3- Libatkan diri dengan aktiviti kebajikan. Masukilah NGO kebajikan yang sesuai agar penglibatannya dapat dilakukan secara sistematik. Dalam surah al-Haj ayat 77 Allah berfirman, “Rukuk dan sujudlah dan laksanakanlah ibadah serta lalukanlah kebaikan semoga dengan itu kamu akan berjaya”.

4- Banyaklah memejam mata (bukan tidur) dan pada ketika yang sama denyutkan lidah dan hati untuk berzikir kepada Allah. Dalam surah Al-Ahzab ayat 35 Allah menceritakan tentang golongan yang mendapat ganjaran yang istimewa daripada Allah. Antaranya ialah, “Golongan lelaki dan wanita yang banyak berzikir kepada Allah, Allah janjikan bagi mereka keampunan serta ganjaran yang besar.” Nabi menggelar golongan yang banyak berzikir kepada Allah sebagai Al-Mufarridun. Mengikut Imam Muslim nabi bersabda, “Golongan Al-Mufarridun akan mendahului.” Sahabat-sahabat bertanya, “Siapakah mereka yang mufarridun itu ya Rasulullah?” Bersabda nabi, “Lelaki dan perempuan yang banyak berzikir kepada Allah.”

5- Berikan tumpuan kepada pelajaran. Letakkan satu matlamat pencapaian yang hendak dicapai berhubung pelajaran itu, sebagai contoh, hendak mendapat semua A, dan selepas itu susuli dengan tumpuan dan usaha. Allah berfirman dalam surah At-Taubah ayat 122, “Tidak sepatutnya bagi orang-orang yang mukmin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi daripada tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalami pengetahuan mereka tentang agama untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka kembali kepada mereka supaya mereka itu dapat menjaga diri.” Ayat ini menjelaskan tentang kepentingan sebahagian daripada umat Islam terlibat dalam bidang peperangan dan sebahagian yang lain mendalami ilmu-ilmu agama agar mereka dapat mengingatkan rakan-rakan mereka yang lain tentangnya. Inilah yang dimaksudkan dengan ilmu fardu kifayah dan ilmu fardu kifayah melibatakan agama dan kehidupan, termasuk aspek sains dan teknologi.

6- Berkawanlah dengan golongan yang baik. Berhati-hatilah ketika memilih kawan. Mengikut Imam Tirmizi, Nabi bersabda yang bermaksud, “Manusia mengikut agama kawannya. Maka hendaklah diperhatikan orang yang hendak dijadikan sebagai kawan”.

Semoga Allah mempermudahkan.

Dr Danial Zainal Abidin

No comments:

Post a Comment