Saturday, September 19, 2009

Akta Hidu Gam

Segerakan Akta Hidu Gam

Oleh FUAD HADINATA YAACOB
hadinata@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Segerakan Akta Hidu Gam! Itu permintaan dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mahu satu akta untuk mengawal aktiviti menghidu gam diwujudkan bagi membendung gejala itu di kalangan remaja terus menular.

Presiden Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), Mohd Yunus Pathi, berkata gejala menghidu gam bukan perkara baru di negara ini, malah ia kian parah apabila semakin ramai ibu bapa tampil melaporkan anak mereka terbabit dengan masalah itu.

Katanya, di Pengasih sebagai contoh, ada ketikanya mereka tidak mampu menerima remaja yang terbabit dengan masalah menghidu gam disebabkan ketidakupayaan untuk menampung golongan berkenaan.

“Ada ibu bapa yang datang membawa anak mereka terpaksa kami tolak kerana sudah kronik. Mereka bermula daripada menghidu gam, kemudian beralih mengambil heroin, Ecstacy, Eramin 5 dan pelbagai lagi.
Isu ini juga banyak kali dibangkitkan NGO dan komuniti setempat, terutama membabitkan penduduk di rumah pangsa,” katanya.

Menurutnya, akta menghidu gam perlu untuk membendung remaja, khususnya membeli gam yang kemudian disalahgunakan.

“Sekarang kerajaan sudah perkenalkan akta untuk daun ketum dan juga melarang remaja bawah 18 tahun membeli rokok.

“Jadi perlu diwujudkan segera akta melarang remaja membeli gam, jika tidak satu hari nanti akan wujud masalah ramai remaja negara ini sakit mental,” katanya.

Menyentuh punca remaja hari ini mudah terjebak dalam aktiviti seperti itu, Yunus menyatakan, ia disebabkan masalah keluarga bertoksik.

“Saya gelarkan begitu kerana ada ahli keluarga menjatuhkan harga diri anak di depan orang lain, sama ada melalui perbuatan atau perkataan, sehingga mengakibatkan anak tersinggung.

“Apabila ini berlaku, anak lebih percaya rakan sebaya dan mereka mudah mengikut apa yang dilakukan. Kajian menunjukkan seorang penagih dadah berupaya menarik 10 orang lain,” katanya.

Sementara itu Setiausaha Agung Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam), Datuk Kamilia Ibrahim, mahukan cadangan yang dikemukakan Pemadam dibentangkan segera untuk bacaan kali pertama di Parlimen.

Katanya, Pemadam mencadangkan kewujudan Akta Hidu Gam sejak 2007, namun sehingga kini belum mendapat kata putus daripada kerajaan mengenainya.

“Pemadam sudah lama cakap mengenai akta ini. Bukan saja ibu bapa, tetapi guru juga menyuarakan kebimbangan mengenai gejala ini kerana kesannya mereka terdorong melakukan jenayah selain masalah seperti sakit mental dan membawa maut,” katanya.

Kamilia berharap apabila akta seperti itu diwujudkan, aktiviti penjualan dapat dikawal dan dibendung supaya tidak mudah seseorang remaja membeli atau memilikinya.

“Tiba masanya menghidu gam diperangi habis-habisan berikutan jumlah penghidu di kalangan generasi muda kian meningkat.

“Malah Pemadam mengesan ada remaja bawah 13 tahun terbabit dalam aktiviti ini kerana bahan itu bukan saja mudah didapati tetapi harganya murah,” katanya.

Kamilia berkata, akta itu penting berikutan sehingga kini tiada tindakan boleh diambil ke atas mereka yang menyalah guna gam kerana ia hanya tertakluk kepada Akta Racun 1952.

Akta Racun 1952 yang terletak di bawah penguatkuasaan Kementerian Kesihatan diwujudkan untuk mengawal pengimportan, pemilikan, pengeluaran, penjualan, penggunaan racun dan semua jenis ubat yang disenaraikan.



Ulasan Chegu Ridhwan

sangat baik dalam usaha membanteras gejala ini. Hidu gam menyongsang akal si penghisapnya.

No comments:

Post a Comment